KELAB DE’BEST UITM MELAKA
Kelab De’Best UiTM Melaka merupakan sebuah kelab yang dianggotai oleh seluruh pelajar yang mengambil program Diploma Pengajian Perniagaan (BM111) di Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka Kampus Lendu. Program Diploma Pengajian Perniagaan mula diasaskan pada tahun Julai 1963 dan kekal menjadi antara program yang mendapat permintaan tinggi daripada pemohon. Program 3 tahun yang merangkumi 6 semester ini menyediakan para pelajar dengan ilmu-ilmu berkaitan pengurusan, perniagaan, perakaunan dan sebagainya.
FAKULTI PENGAJIAN PERNIAGAAN
Di kampus Alor Gajah, Program Diploma Pengajian Perniagaan diletakkan di bawah Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP) bersama-sama dengan program Diploma Pengajian Perniagaan (Insuran) dan Diploma Perbankan. Fakulti Pengurusan Perniagaan adalah sebuah fakulti yang terawal di UiTM bermula pada penubuhan Dewan Latihan RIDA (Rural Industrial Development Authority) pada tahun 1956.
UiTM CAWANGAN MELAKA
Sejarah UiTM Cawangan Melaka (ITM Melaka) bermula di Bangunan Sementara IKM, Jalan Hang Tuah, Melaka pada 12 Ogos 1984 dengan jumlah pelajar seramai 158 orang pelajar pada ketika itu. Kini, UiTM Cawangan Melaka terdiri daripada kampus Alor Gajah dan kampus Bandaraya. Kampus Alor Gajah dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2 Mei 1996. Kampus Alor Gajah berkeluasan sebanyak 358.2 ekar dan merupakan kampus tetap. Kampus Bandaraya pula telah dirasmikan pada 26 Mac 2007 oleh YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam. Pada 19 Februari 2011, telah berlangsung Majlis Perasmian Mula Kerja Projek UiTM Melaka Kampus Jasin. Kampus Jasin di mukim Semujuk dibina di atas tanah seluar 218 ekar dan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan. UiTM Cawangan Melaka kini di bawah pentadbiran Datuk Prof. Madya Dr. Mizan Hj. Hitam sebagai Rektor UiTM Cawangan Melaka.